Thursday, August 24, 2006

1.0 Tanggungjawab Kontraktor

Penyiapan kerja-kerja sebagaimana dokumen kontrak
1.1
Kontraktor hendaklah dan sebagaimana tertakluk kepada Syarat-syarat ini melaksanakan dan menyiapkan Kerja-kerja sebagaimana Dokumen Kontrak dan dalam mematuhinya hendaklah menyediakan bahanbina, barangan dan piawaian mutu-kerja sebagaimana kualiti dan piawaian yang diterangkan dalam Dokumen Kontrak dan/atau dikehendaki oleh Arkitek mengikut peruntukan-peruntukan Kontrak.

Operasi Tapakbina
1.2
Kontraktor adalah bertanggung-jawab sepenuhnya kepada kecukupan, kestabilan dan keselamatan semua operasi tapakbina dan segala kaedah pembinaan untuk Kerja, tidak kira apa-apa kelulusan atau persetujuan oleh Arkitek.

Tanggungjawab dalam rekabentuk oleh Kontraktor
1.3
Jika Kontraktor memilih untuk membuat apa-apa rekabentuk, samada sebagai satu alternatif kepada Lukisan Kontrak dan/atau Senarai Kontrak atau jika Kontrak menyerahkan soal rekabentuk, spesifikasi dan pilihan bahanbina, barangan dan mutukerja kepada Kontraktor, maka Kontraktor hendaklah bertanggungjawab untuk mempastikan kerja-kerja dari segala aspeknya mencukupi, memadai, tepat, dan padan untuk tujuannya. Hakcipta apa-apa rekabentuk dan/atau rekabentuk alternatif Kontraktor adalah hakmilik Kontraktor tetapi Majikan hendaklah diberi hak untuk menggunakan rekabentuk/rekabentuk alternatif bagi maksud penyiapan, penyelenggaraan, pembaikan dan tambahan masa-depan untuk Kerja-kerja.

Ketidaksamaan dan lencongan antara dokumen
1.4
Kontraktor hendaklah menggunakan Dokumen Kontrak dan apa-apa dokumen yang dikeluarkan kemudiannya oleh Arkitek untuk perancangan awal Kerja sebelum memulakan pembinaan. Jika dalam tempoh perancangan awal dan pembinaan yang berikutnya , Kontraktor menemui apa-apa ketidaksamaan, atau lencongan di antara mana-mana dokumen yang membentuk Dokumen Kontrak dan/atau dokumen berikutnya yang dikeluarkan oleh Arkitek, hendaklah ia memberikan notis bertulis kepada Arkitek dalam satu masa yang mencukupi sebelum memulakan pembinaan pada bahagian yang berkenaan, menyatakan ketidaksamaan atau perbezaan supaya Arkitek dapat mengeluarkan arahan dalam masa yang tidak akan mengakibatkan kelewatan material kepada kemajuan Kerja sepertimana dalam Tarikh Siap Kerja. Ketidaksamaan atau lencongan sedemikian tidak akan mengubah Kontrak ini.


Klausa 1.1
Klausa 1.1 boleh dikatakan sebagai satu klausa yang merangkumi intipati Kontrak. Kontraktor mesti menyiapkan Kerja sebagaimana dalam Kontrak; lukisan, spesifikasi dan cara kerja. Untuk melaksanakan Kerja tersebut Kontraktor bertanggungjawab menyediakan bahan-bina, pekerja dan peralatan. Bahan-bina mengikut jenis dan spesifikasi yang telah ditentukan, pekerja yang mempunyai kemahiran dan hasil siapnya pula mestilah sebagaimana kualiti dan piawaian. Ianya merangkumi kedua-dua aspek nilai yang material dan subjektif. Hal material sebagaimana tertulis agak mudah untuk dicapai. Hal bukan material seperti piawaian kualiti lebih payah untuk diberi tafsiran dalam ayat-ayat Kontrak. Apa yang baik bagi seorang mungkin belum tentu baiknya pada orang lain. Bilamana berlaku situasi begini kualiti memerlukan tafsiran dan penerimaan oleh orang tengah iaitu Arkitek.

Soal samada apa yang diterima oleh Arkitek boleh dianggap sebagai diterima oleh Majikan akan dibincangkan dalam bahagian yang lain.

Klausa 1.2
Klausa 1.2 merangkum dan meletakkan aspek keselamatan tapak bina ke atas bahu Kontraktor. Kontrak menghormati Kontraktor sebagai orang yang paling dipercayai dalam hal keselamatan dan cara melaksanakan Kerja. Klausa ini sama sekali melepaskan diri Arkitek dari apa juga tanggung-jawab bila berlaku musibah di tapak bina atas dasar

Tapakbina telah diserah dan dikawal sepenuhnya oleh Kontraktor sebaik sahaja penyerahan tapakbina dibuat. [Lihat Klausa xx]
Kontraktor diangap berpengatahuan tentang aspek keselamatan dan cara melaksanakanKerja.


Klausa 1.3
Klausa 1.3 ini merupakan satu respon kepada perkembangan pengkhususan dalam industri pembinaan. Banyak elemen dalam pembinaan hari ini dikilang dan dikeluarkan secara ‘proprietary’. Produk dari sistem ini memerlukan Kontraktor untuk mendapatkan lukisan-lukisan dan spesifikasi yang khusus melalui khidmat langsung daripada pengeluar. Lukisan-lukisan ‘proprietary’ ini biasanya dipanggil ‘shop-drawing’.

‘Shop-drawing’ diguna-pakai dalam beberapa keadaan;

bahanbina atau barangan yang dibekalkan terus dari kilang, contohnya bingkai aluminium; sistem pintu lungsur dll;
bahanbina yang direkabentuk dan dipasang-siap oleh pengilang seperti sistem kekuda bumbung; dan
bahan bina yang asalnya dinyatakan sebagai lukisan konsep atau skematik daripada arkitek / jurutera diterjemah semula berdasarkan bahanbina atau sistem yang ditawarkan oleh Kontraktor seperti sistem ‘curtain-wall’;
bilamana koordinasi antara beberapa sistem perkhidmatan bangunan berbeza perlu diselaraskan berdasarkan keadaan siapbina, dan/atau dikooridinasi secara tepat ditapakbina contohnya pendawaian letrik dan larian sesalur penyaman udara.

Dalam pada itu, kaedah pembekalan bahanbina dan barangan dalam pembinaan yang kompetitif mendorong pengeluar untuk mengemukakan ‘shop-drawing’ kepada elemen-elemen biasa seperti jubin untuk kemasan, dinding sekat tahan api serta atap.

Klausa ini secara spesifik meletakkan tanggungjawab dan liabiliti bagi mana-mana rekabentuk oleh pengeluar atau pembeal yang diperkenalkan oleh Kontraktor ke atas Kontraktor sendiri. Fungsi Arkitek dalam menerima dan meluluskan rekabentuk hanyalah bersifat kelulusan dasar yang tidak menimbulkan liabiliti kepada Arkitek. Di mana perlu, Kontraktor mesti mendapatkan khidmat profesional untuk rekabentuk mereka.

Masalah praktikal dalam kaedah rekabentuk Kontraktor
Masalah utama dalam kaedah ini adalah pembahagian tanggungjawab dan liabiliti. Ia mengujudkan Perunding Majikan dan Perunding Kontraktor. Arkitek dan Jurutera yang dilantik sebagai Perunding Majikan mungkin boleh berlepas tangan jika Klausa ini dibaca sekali dengan Klausa 1.2 di atas. Namun demikian Perunding Majikan masih bertanggungjawab untuk menyediakan maklumat serta terma rujukan yang cukup kepada Perunding Kontraktor. Tanpa maklumat yang lengkap, Perunding Kontraktor akan terdorong untuk meyediakan bahanbina atau perkiraan struktur yang paling minima dan paling murah untuk kepentingan ekonomi Kontraktor. Perunding Majikan tidak sekali-kali boleh mengambil jalan pintas meluluskan rekabentuk Kontraktor sekalipun ia telah diambil tanggungjawab oleh Perunding lain. Satu contoh masalah yang sering berlaku dalam sistem kekuda bumbung boleh dijadikan panduan.

Kebiasaannya Arkitek mencatitkan dalam lukisan bumbung satu ayat mudah berbunyi. ‘Kerangka bumbung oleh Jurutera’ . Arkitek yang berhati-hati akan mempastikan Jurutera mengeluarkan lukisan dan perkiraan struktur yang lengkap. Dalam pada itu ada masanya Arkitek mencatitkan ‘Sistem kerangka bumbung oleh pengeluar yang diluluskan’. Di sini jurutera biasanya berlepas tangan. Kontraktor akan mencari pengeluar sistem kekuda bumbung dan mengemukakan untuk kelulusan. Jurutera Kontraktor biasanya amat berani dalam meluluskan sistem yang mempunyai kekuatan minima. Kontraktor pula bertegas dengan kekukuhan dan keselamatan sistem berdasarkan sistem mereka kerana mereka mengambil tanggungjawab penuh bersama Perunding mereka. Jika maklumat tidak atau lewat diberikan kepada Kontraktor, mereka tidak akan memasukkan beban yang tepat seperti bahan atap yang berbeza, beban peralatan mekanikal seperti tangki air atau pam yang biasanya diletakkan dalam bumbung, juga beban daripada kemasan dan rekabentuk dalaman. Akibatnya, kekuda dan bahanbina yang dihantar ke tapak mengandungi kayu yang kurang dari saiz, tidak berkualiti dan menjadi mimpi ngeri kepada koordinasi sistem. Masalah bumbung rekabentuk Kontraktor yang runtuh sudah cukup banyak berlaku untuk menyedarkan kita tentang masalah kaedah ini.

Nasihat saya kepada Arkitek adalah untuk memikirkan kemungkinan yang terburuk. Tidak ada salahnya untuk bersifat kritikal dan pesimistik jika perlu. Tugas kita adalah untuk mempastikan bangunan diserah siap dengan sempurna. Soal liabiliti adalah soal yang hanya perlu didebat oleh peguam di mahkamah. Bencana apabila berlaku, sudah terlambat. Saya letakkan nota ini kerana saya melihat dengan bimbang keghairahan untuk menjimatkan kos yang berleluasa hari ini telah melampaui norma profesional. Ada jurutera yang tanpa segan silu menawarkan perkhidmatan dan sistem ekonomi yang kononnya menjimatkan lalu mengenepikan rekabentuk dan pandangan oleh jurutera asal. Akibatnya adalah bangunan yang lewat siap dan memerlukan kos pembaikan yang mahal. Bangunan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri adalah satu contoh yang baik untuk dikaji.



Klausa 1.4
Saya tertarik kepada penggunaan istilah ketidaksamaan dan lencongan dalam Klausa ini. Ianya sedap didengar dari sudut istilah tetapi secara umumnya bermaksud perbezaan atau apa-apa sahaja yang berbeza dalam dokumen yang berlainan.

Klausa ini agak jelas maksudnya. Pertama ia secara tidak langsung mengarah Kontraktor untuk mengkaji semua dokumen sebelum memulakan Kerja. Jika apa-apa ketidaksamaan atau lencongan ditemui dalam dokumen, Kontraktor mesti memaklumkan secara bertulis kepada Arkitek. Arkitek juga diarah mesti memberikan respon yang segera secara bertulis.

Apa yang mungkin boleh dipertikaikan adalah istilah ‘yang tidak akan mengakibatkan kelewatan material kepada kemajuan Kerja sepertimana dalam Tarikh Siap Kerja’. Sebagai satu prosedur saya cadangkan istilah ini diberi tempoh yang jelas misalnya 14 hari atau 7 hari sebelum tarikh mengesah pesanan bahanbina atau tarikh memulakan kerja berkenaan. Tempoh ini boleh dipersetujui dan direkod dalam minit mesyuarat atau secara surat. Arkitek perlu berhati-hati dalam menyegerakan respon kerana kelewatan akan memberikan ruang kepada Kontraktor menuntut Lanjutan Masa dan seterusnya kos tambahan yang berkaitan.

Masalah praktikal dalam pemakaian Klausa
Klausa ini adalah klausa yang ‘innocent’ sifatnya. Namun zaman dimana Kontraktor adalah orang-orang yang tidak terpelajar sudah berlalu. Beberapa Kontraktor besar kini memiliki ‘jabatan tuntutan’ yang tugasnya tidak lain selain mencari apa juga perbezaan, ketidaksamaan dan lencongan dengan niat untuk memaksimakan Arahan Perubahan. Arkitek akan menghadapi kesukaran berhadapan dengan Kontraktor sebegini. Tidak ada jalan pintas bagi Majikan untuk mengelak dari tuntutan selain daripada Arkitek meningkatkan ketepatan dokumen.

Semak dan ulang semak lukisan dan dokumen sebelum tender dikeluarkan, sebelum tender di anugerah, sebelum arahan kerja diarah dan lebih penting lagi sebelum apa-apa arahan perubahan dikeluarkan.
Arkitek dalam masa perlaksanaan projek sering kalah dengan tekanan daripada Kontraktor untuk mengubah rekabentuk, menukar bahan binaan atau cara kerja. Hal ini berlaku apabila tekanan dari tapak bina memuncak. Arkitek yang mengurus pembinaan seringkali dibuat untuk merasa inferior dengan pengalaman dan kepandaian Kontraktor. Akibatnya hal yang telah difikirkan secara mendalam dalam peringkat rekabentuk dan penyediaan butiran diketepikan.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

Mesothelioma
Mesothelioma