Friday, August 25, 2006

2.0 Arahan Arkitek




Kontraktor hendaklah mematuhi A.I
2.1
Tertakluk kepada Klausa 2.2 dan 2.3 Kontraktor hendaklah dengan segera mematuhi segala arahan-arahan yang dikeluarkan kepadanya oleh Arkitek secara bertulis dalam apa-apa juga hal yang mana Arkitek diberi kuasa secara jelas mengikut peruntukan-peruntukan Kontrak untuk mengeluarkan arahan.

A.I
2.2
Semua arahan yang dikeluarkan oleh Arkitek hendaklah bertulis dan secara jelas diberi tajuk ‘Arahan Arkitek’ (A.I) dengan nombor bersiri. Semua arahan secara bertulis yang lain oleh Arkitek akan diterimapakai sebagai satu A.I hanya setelah Arkitek menerima pengesahan bertulis yang diberi tajuk ‘Pengesahan Arahan Arkitek’ (C.A.I) dengan nombor bersiri tersendiri daripada Kontraktor.

Kegagalan Kontraktor mematuhi A.I
2.3
Jika tempoh pematuhan [yang mestilah tidak kurang dari tujuh (7) hari dari tarikh menerima A.I], dinyatakan oleh Arkitek dalam A.I dan Kontraktor tidak mematuhinya, maka Majikan boleh, tanpa menjejaskan apa-apa hak dan remedi yang dimilikinya di bawah Kontrak, menggaji dan membayar Orang lain untuk melaksanakan apa-apa kerja yang perlu bagi memenuhi arahan tersebut. Apa-apa kos tambahan yang berkaitan hendaklah boleh dituntut daripada apa-apa wang yang dibayar atau akan dibayar kepada Kontraktor di bawah Kontrak ini.

Peruntukan yang membolehkan arahan
2.4
Sebaik sahaja menerima arahan bertulis daripada Arkitek, Kontraktor boleh memohon Arkitek supaya menyatakan secara bertulis peruntukan dalam Syarat-syarat Kontrak yang membolehkan arahan tersebut dikeluarkan. Arkitek mesti dengan segera memenuhi permohonan sedemikian.

Pematuhan A.I
2.5
Jika selepas itu Kontraktor tidak mematuhi arahan tersebut (di mana Kontraktor sebelum mematuhinya, tidak memberi kepada Majikan notis bertulis untuk menyetujui perlantikan seorang Penimbangtara di bawah Klausa 34.0 supaya Penimbangtara membuat keputusan samada peruntukan yang dinyatakan oleh Arkitek memberikuasa kepada pengeluaran arahan) maka isu arahan tersebut hendaklah bagi maksud Kontrak dianggap sebagai diberi kuasa di bawah peruntukan Syarat-syarat sebagaimana yang dijawab oleh Arkitek kepada permohonan Kontraktor.


Dalam Borang Kontrak sebelum Borang PAM 2005, isu Arahan Arkitek adalah isu yang sering diperdebatkan. Arkitek seolah-olah diberikuasa untuk mengeluar apa-apa saja arahan dengan apa-apa cara juga samada bertulis [surat, memo tapak, minit mesyuarat] atau tidak bertulis [arahan lisan]. Prosedur untuk mengeluarkan arahan serta tindakan balas dari Kontraktor tidak dinyatakan secara jelas. Beban untuk menjadikan arahan itu satu arahan resmi diletakkan di bahu Kontraktor. Borang PAM 1998 menghadkan arahan kepada arahan bertulis tetapi masih mengekalkan ruang kepada arahan lisan. Ianya masih memasukkan ‘Arahan Arkitek Yang Tidak dibuat Secara Bertulis’ serta terma yang kabur tentang Arahan Arkitek yang merangkumi juga apa yang disebut sebagai ‘apa yang boleh dianggap sebagai Arahan’ (what purports to be a written instruction) sebagai Arahan. Ini bermakna, Arkitek boleh dengan bersahaja menulis pada sehelai napkin atau membuat contengan pada dinding dan bertegas menjadikan ianya Arahan Arkitek.

Borang PAM 2005 menetapkan hanya arahan bertulis sahaja yang boleh diterima-pakai.

Klausa 2.1
Klausa 2.1 menyatakan bahawa Arahan Arkitek hanya boleh diberikan jika ianya termasuk dalam perkara-perkara yang diberi kuasa kepada Arkitek untuk mengeluarkan Arahan.

Klausa 2.2
Klausa 2.2 menyatakan bahawa semua arahan daripada Arkitek bukan sahaja perlu dibuat secara bertulis malah hendaklah diberi tajuk ‘Arahan Arkitek’ dengan nombor siri yang jelas. Jika Klausa 2.4 dibaca bersekali, Arahan hendaklah juga menyatakan peruntukan dalam Syarat-syarat Kontrak yang membenarkan arahan itu dikeluarkan. Klausa ini juga memberi ruang kepada Kontraktor untuk mendapatkan pengesahan daripada Arkitek di atas apa-apa arahan bertulis yang lain. Permohonan untuk mengesahkan arahan daripada Kontraktor ini juga hendaklah diberi tajuk ‘Pengesahan Arahan Arkitek’ dan diberi nombor siri.

Klausa 2.3
Klausa 2.3 menyentuh 3 isu.

1. Ianya menyatakan dengan jelas bahawa Kontraktor hendaklah diberi tempoh tidak kurang dari 7 hari dari tarikh menerima A.I untuk mematuhi arahan. Arkitek boleh menyatakan tempoh lain yang melebihi 7 hari.

2. Jika Kontraktor gagal mematuhi arahan dalam A.I, Majikan boleh menggaji orang lain untuk melaksanakan kerja tersebut. Kerja-kerja tersebut bagaimanapun hendaklah dihadkan kepada kerja yang disebut dalam A.I sahaja.

3. Kontrak membenarkan kos menggaji atau membayar Orang lain ini dibayar daripada wang Kontraktor atau yang akan dibayar kepada Kontraktor.

Klausa 2.4
Klausa 2.4 memberikan ruang kepada Kontraktor yang tidak berpuas hati dengan arahan atau kesahihan arahan untuk memaksa Arkitek menyatakan dengan jelas peruntukan dalam Syarat-syarat yang membenarkan arahan tersebut dikeluarkan. Permohonan untuk mendapatkan kesahihan ini mesti dijawab dengan segera oleh Arkitek. Kontrak bagaimanapun tidak menyatakan tempoh ‘segera’ tersebut dalam unit hari. Namun demikian saya beranggapan bahawa tempoh 7 hari yang diberi kepada Kontraktor untuk dengan segera mematuhi (shall fortwith comply) dalam Klausa 2.3 juga terpakai kepada Arkitek.

Klausa 2.5
Klausa 2.5 menyentuh 2 isu.

1. Ia membenarkan Kontraktor yang tidak berpuashati dengan arahan dan pengesahan arahan (Klausa 2.4) untuk memberi notis kepada Majikan menyatakan bantahan dan menyetujui perlantikan penimbangtara bagi membuat keputusan samada arahan tersebut sahih atau tidak.

2. Kontraktor yang melaksanakan arahan sebelum menyetujui perlantikan penimbangtara dianggap bersetuju dan menerima pengesahan atau penjelasan Arkitek.

Bagi Kontraktor yang tidak berpuashati dengan arahan serta peruntukan yang membolehkan arahan tersebut dibuat, adalah penting bagi mereka mengambil tindakan berikut;

a. Memohon Arkitek menyatakan peruntukan yang memberi kuasa mengeluarkan Arahan.
b. Jika berpuashati, melaksanakan arahan tersebut.
c. Jika tidak berpuashati, memberi notis dibawah Klausa 2.4 kepada Majikan untuk penyelesaian perbalahan oleh Penimbangtara
d. Tidak melaksanakan Arahan sebelum perlantikan Penimbangtara dipersetujui.
e. Jika arahan terpaksa juga dibuat atas alasan kesegeraan dan kecemasan, kontraktorperlu memberi notis menyatakan pandangan sedemikian kepada Majikan

Peruntukan berkaitan dengan Klausa 2

Dalam hal berlaku perbalahan, peruntukan Klausa 34 Adjudikasi dan Timbangtara perlu dibaca bersama-sama dengan Klausa 2 ini. Sepatutnya juga rujukan untuk penyelesaian perbalahan ini merujuk kepada Klausa 35 Mediasi. Kenapa Klausa 2.5 hanya menyatakan timbangtara tetapi tidak pula mediasi sebagai rujukan adalah suatu hal yang agak menghairankan. Samada adjudikasi dan mediasi juga boleh dibuat dalam hal perbalahan di bawah Klausa 2.4 ini akan saya cuba jawab di bawah.

Jika Klausa 34.0 dirujuk, kita akan melihat bahawa 'apa juga perbalahan' boleh diselesaikan oleh adjudikator dan penimbangtara.

Dalam hal Adjudikasi, hal ini dinyatakan dalam Klausa 34.1 ‘Pihak-pihak (yang berbalah) secara persetujuan bertulis adalah bebas untuk merujuk apa-apa pertikaian yang lain kepada adjudikasi’ (The parties by written agreement are free to refer any other disputes to adjudication). Istilah ‘pertikaian yang lain’ secara langsung bermaksud bahawa apa-apa sahaja perbalahan samada yang disebut secara spesifik atau tidak dalam mana-mana Klausa boleh diselesaikan olehnya. Ini termasuklah soal spesifik seperti kuasa Arkitek.

Dalam hal Timbangtara hal ini dinyatakan dalam Klausa 34.5(i) ‘ ....... termasuk apa-apa hal atau perkara yang diserahkan oleh Kontrak kepada budi-bicara Arkitek’ (.......... including any matter left by this Contract to the discretion of the Architect)

Berbanding dengan perbalahan yang lain, hal kuasa Arkitek ini boleh dibuat adjudikasi atau timbangtara tanpa menunggu siap kerja atau penamatan Kontrak. Timbangtara boleh dibuat serta-merta sementara Kerja-kerja di bawah Kontrak masih berlangsung. Ini dibenarkan oleh Klausa 34.9 (Timbangtara) dan Klausa 35.1 (Mediasi)

Klausa 34.9 menyebut bahawa ‘..... prosiding timbangtara sedemikian tidak boleh dimulakan sehingga Siapkerja Praktikal..... kecuali Klausa 34.9 (i) persoalan samada pengeluaran arahan dibenarkan oleh Syarat-syarat;

Untuk Mediasi, soal samada perbalahan tentang kuasa Arkitek boleh dirujuk dijawab oleh Klausa 35.1 yang menyebut ‘dengan persetujuan bertulis oleh kedua-dua Majikan dan Kontraktor, pihak-pihak berkenaan boleh secara persetujuan bersama merujuk apa-apa perbalahan kepada mediasi.’

Perbincangan tentang Arahan Arkitek juga memerlukan kefahaman kepada Klausa 36.0 Notis yang menggariskan cara penyampaian, andaian penerimaan dan kecukupan bukti penyerahan notis.

Senarai perkara-perkara yang Arkitek diberi kuasa mengeluarkan arahan dinyatakan dalam Jadual 1 di bawah. Jadual ini membuat perbandingan antara kuasa mengeluarkan arahan dibawah Borang PAM 1998 dengan PAM 2005.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

Mesothelioma
Mesothelioma