Saturday, August 26, 2006

3.0 Dokumen Kontrak, Program dan Lukisan Siap-Bina




Dokumen Kontrak
3.1
Dokumen-dokumen berikut membentuk Dokumen Kontrak dan hendaklah dibaca sebagai saling menjelaskan antara satu sama lain. Dalam apa-apa konflik atau ketidaksamaan di antara dokumen-dokumen ini, prioriti dalam menginterpretasikan dokumen tersebut hendaklah mengikut susunan menurun yang berikut:

3.1 (i) Surat Setujuterima Tender
3.1 (ii) Artikel Perjanjian
3.1 (iii) Syarat-syarat Kontrak
3.1 (iv) Lukisan-lukisan Kontrak
3.1 (v) Bil-bil Kontrak
3.1 (vi) lain-lain dokumen yang dimasukkan kedalam Kontrak Dokumen melainkan jika
dinyatakan sebagai dikecualikan daripadanya.

Simpanan dokumen kontrak
3.2
Dokumen Kontrak yang asal hendaklah disimpan oleh Arkitek atau Jurukur Bahan dan dibenarkan untuk disemak oleh Majikan dan Kontraktor pada setiap masa yang munasabah.

Salinan-salinan dokumen
3.3
Sertamerta selepas kontrak ini ditandatangani, Arkitek atau Jurukur Bahan hendaklah tanpa sebarang caj kepada Kontraktor menyediakan untuk beliau (melainkan jika beliau telah disediakan sebelumnya):

3.3 (i) satu (1) salinan Dokumen Kontrak yang disahkan bagi pihak Majikan
3.3 (ii) dua (2) salinan Dokumen Kontrak tambahan; dan
3.3 (iii) dua (2) salinan Bil Kontrak yang tidak dihargakan.

Lukisan dan butiran tambahan
3.4
Dari masa ke semasa jika perlu baginya Arkitek, tanpa caj kepada Kontraktor, menyerahkan kepadanya dua (2) salinan lukisan, butiran, aras atau apa-apa maklumat tambahan sebagaimana sewajarnya diperlukan samada untuk menjelaskan atau memperkukuhkan Lukisan Kontrak atau untuk membolehkan Kontraktor menyiapkan Kerja mengikut Syarat-syarat. Jika Kontraktor memerlukan tambahan lukisan, butiran, aras dan maklumat yang lain, belia hendaklah secara khusus memohon secara bertulis kepada Arkitek meminta lukisan, butiran, aras dan maklumat yang lain tersebut dalam masa yang cukup sebelum memulakan pembinaan bagi bahagian kerja yang berkenaan, supaya Arkitek boleh mengeluarkan arahan-arahan dalam tempoh yang tidak akan mengakibatkan kelewatan material kepada kemajuan Kerja setelah Tarikh Siap Kerja diambil kira.

Program Kerja
3.5
Dalam masa dua puluh satu (21) hari daripada penerimaan Surat Setuju Terima (atau tempoh yang lebih lama yang dipersetujui secara bertulis oleh Arkitek) Kontraktor hendaklah menyerahkan untuk makluman Arkitek enam (6) salinan Program Kerja (melainkan jika jumlah yang lebih banyak dinyatakan dalam Dokumen Kontrak). Program Kerja mestilah memenuhi kehendak-kehendak (jika ada) yang dinyatakan dalam Dokumen Kontrak. Jika Kerja atau apa-apa bahagiannya terlewat kerana apa-apa sebab, Arkitek boleh mengarah Kontraktor untuk mengubah Program Kerja. Kontraktor tanpa caj kepada Majikan hendaklah menyerahkan kepada Arkitek Program Kerja pindaan dalam jumlah yang sama.

Program bukan sebahagian dari Kontrak
3.6
Program Kerja tidak akan menjadi sebahagian daripada Kontrak, samada ianya dimasukkan secara fizikal atau tidak ke dalam Dokumen Kontrak.

Kelulusan program oleh Arkitek tidak melepaskan tanggungjawab Kontraktor
3.7
Pengemukaan dan penerimaan Program kerja oleh Arkitek tidak akan melepaskan Kontraktor dari obligasi, tugas dan tanggungjawab di bawah Kontrak.

Kesediaan dokumen
3.8
Kontraktor hendaklah meyimpan satu (1) salinan daripada Dokumen-dokumen yang dirujuk dalam Klausa 3.3, 3.4 dan 3.5 di Tapakbina supaya tersedia untuk kegunaan Arkitek dan perunding-perunding serta wakil yang diberikuasa pada setiap masa yang wajar bagi rujukan dan kegunaan mereka. Program-program ini akan digunakan oleh Arkitek untuk mengawal-selia kemajuan dan akan menjadi asas kepada penilaian lanjutan masa dan kesan kepada kemajuan Kerja.

Had penggunaan dokumen
3.9
Tidak ada mana-mana dari Dokumen Kontrak yang disebut dalam Klausa 3.1 boleh digunakan oleh Kontraktor untuk apa-apa maksud selain dari Kontrak ini. Pihak-pihak tidak akan membuat apa-apa makluman mengenai kadar dan harga dalam Bil Kontrak kecuali bagi maksud Kontrak ini.

Lukisan siap-bina dan manual operasi dan penyelenggaraan
3.10
Kontraktor hendaklah membekalkan dan menyebabkan mana-mana Sub-Kontraktor DiNamakan untuk menyediakan Lukisan Siapbina dan/atau manual operasi dan penyelenggaraan yang di nyatakan khusus dalam Dokumen Kontrak atau Dokumen Sub-Kontrak. Kontraktor juga mesti membekalkan dan menyebabkan mana-mana Sub-Kontraktor DiNamakan untuk menyediakan Lukisan Siapbina dan/atau manual operasi dan penyelenggaraan yang direkabentuk oleh Sub-Kontraktor DiNamakan. Kontraktor hendaklah membekalkan semua Lukisan Siapbina dan/atau manual operasi dan penyelenggaraan samada disediakan olehnya dan/atau Sub-Kontraktor DiNamakan dalam masa yang ditetapkan dalam Dokumen Kontrak. Melainkan jika bilangan salinan Lukisan Siapbina dan/atau manual operasi dan penyelenggaraan itu dinyatakan khusus dalam Dokumen Kontrak dan/atau Dokumen Sub-Kontrak Kontraktor hendaklah membekalkan empat (4) salinan Lukisan Siapbina dan/atau manual operasi dan penyelenggaraan tersebut.

Klausa 3.8
Di bawah Klausa ini, tanggungjawab mempastikan program kerja, lukisan kerja termasuk lukisan kerja tambahan dan dokumen kontrak yang lengkap sentiasa berada di tapakbina diletakkan kepada Kontraktor. Program kerja akan digunakan untuk menilai permohonan lanjutan masa jika berlaku kelewatan. Dalam membincangkan Klausa ini saya akan melihat kedua-aspek dokumen dan program secara berasingan.

a. Dokumen Kontrak
Dalam amalan biasa, Kontraktor hanya diberikan dua set dokumen yang mengandungi lukisan dan bil yang tidak dihargakan. Satu set disimpan ditapak untuk tujuan pemantauan dan satu set lagi disimpan di pejabat Kontraktor untuk tujuan penyusunan kerja, pembelian barangan, susunan tenaga kerja dan sebagainya. Dalam suasana yang ideal lukisan ini akan kekal dari awal hingga ke akhir projek dan boleh digunakan bagi menyemak perubahan kerja semasa Kontrak dimuktamatkan. Tetapi biasanya, suasana yang ideal tidak atau jarang sekali wujud dalam pembinaan terutamanya dalam kontrak-kontrak kecil. Dalam kontrak-kontrak yang besar dengan pasukan pengurusan tapak yang ramai dan sistem pemfailan yang kemas jarang timbul masalah. Namun bagi kontrak yang lebih kecil, semakin hampir kontrak ke penghujungnya, lukisan dan dokumen tapakbina ini selalunya hilang atau hancur kerana dibawa ke tapak kerja.

Kenapa Arkitek dikehendaki memberikan hanya dua set dokumen? Saya rasa jawaban terletak pada amalan masa lampau di mana kos percetakan mahal dan susah didapati dan magnitud kerja pembinaan adalah kecil dan tidak terlalu kompleks. Ada arkitek yang menekankan hanya lukisan yang diperolehi dari pejabat arkitek sahaja yang boleh digunakan ditapak dan memaksa Kontraktor membeli dokumen tambahan dari mereka.

Dalam suasana industri semasa, pembinaan telah bertambah kompleks dan input yang berbilang memerlukan fleksibiliti dalam kawalan dokumen. Untuk terlalu mengawal pengeluaran dokumen hanya akan menghalang keberkesanan ‘sourcing’ dan kerja. Dengan kemajuan teknologi IT, mungkin sudah lebih mudah bagi arkitek untuk hanya mengedarkan dokumen dalam bentuk data digital kepada kontraktor dan menyerahkan kepada mereka untuk menggunakan dokumen tersebut sebagaimana sesuai. Dokumen dalam bentuk kertas yang dikehendaki oleh Kontrak ini mungkin lebih digunakan sebagai dokumen kawalan.

b. Program
Dari segi susunan, saya berpendapat bahawa ayat ‘Program-program ini akan digunakan oleh Arkitek untuk mengawal-selia kemajuan dan akan menjadi asas kepada penilaian lanjutan masa dan kesan kepada kemajuan Kerja’ sepatutnya diletakkan pada Klausa 3.5. Ia agak mengelirukan Klausa 3.8 kerana subjek program ini agak berbeza dari aspek lukisan.


Klausa 3.9
Klausa ini menyatakan secara khusus kerahsiaan dokumen kontrak. Lukisan, bil dan apa-apa makluman (satu cara untuk merangkumi seluruh aspek dokumen) hanya boleh digunakan oleh Kontraktor untuk tujuan pembinaan dan aktiviti yang berkaitan dengan pembinaan. Klausa ini secara tidak langsung juga menghormati hak cipta.

Klausa 3.10
Penderafan Klausa 3.10 merupakan satu kes dimana mana maksud yang ringkas disampaikan dalam ayat yang panjang dan berbelit-belit. Niat untuk menyatakan sesuatu dengan jelas menjadi kabur oleh susunan ayat yang komplikated.

Klausa ini hanya bermaksud untuk menyatakan bahawa Kontraktor mesti mengemukakan empat (4) salinan Lukisan Siapbina dan/atau manual operasi dan penyelenggaraan kepada Majikan. Yang ianya termasuk sekali lukisan dan manual bagi Kerja oleh Sub-Kontraktor DiNamakan adalah lanjutan yang semulajadi kepada hakikat bahawa Majikan hanya mempunyai Kontrak dengan Kontraktor sahaja.

Manual operasi dan penyelenggaraan merupakan dokumen yang semakin penting dalam pengurusan dan penyelengggaraan bangunan moden. Peratusan komponen mekanikal dan sistem dalam bangunan semakin bertambah dengan penekanan kepada Sistem Pembinaan Industri (Industriliased Building system – IBS). Komponen yang biasa dan umum dalam pembinaanpun kini dikeluarkan secara industri dan modular. Ini akan menjurus kepada pembinaan berasaskan modul yang penuh di masa depan yang terdekat. Lukisan siapbina, manual operasi dan penyelenggaraan akan sekaligus menjadi rekod dan dokumen rujukan kepada pengurusan, penyelenggaraan dan pembaikan masa depan.

Sekalipun Kontrak meletakkan tanggungjawab menyediakan lukisan siapbina, manual operasi dan penyelenggaraan kepada Kontraktor, ianya lebih dimaksudkan kepada aspek mekanikal dan diasaskan kepada lumrah dan tanggapan bahawa Kontraktor mempunyai makluman yang lebih lengkap tentang sistem perkhidmatan bangunan berbanding dengan Arkitek dan Jurutera. Tanggapan ini tidak semestinya benar dan tepat. Ini boleh membawa kepada dua kemungkinan. Pertama, peranan dan kawalan Arkitek dan Jurutera dalam bangunan semakin berkurangan atau kedua, Arkitek dan Jurutera semakin banyak melepaskan tanggungjawab perundingan dan menyerahkannya kepada pihak Kontraktor. Sebagai Arkitek dalam praktis, saya gembira dengan perlepasan tanggungjawab ini kerana ianya banyak mengurangkan beban saya sebagai individu. Namun demikian saya juga merasa perlu untuk mempersoalkan perlepasan tanggungjawab ini atas kekhuatiran tentang penghakisan kawalan Arkitek kepada rekabentuk sekaligus tanggungjawabnya kepada Majikan. Kita dewasa ini memiliki teknologi yang cukup untuk melakukan kawalan kepada semua aspek pembinaan daripada rekabentuk hinggalah kepada pengurusan dan penyelenggaraan, tetapi kita memilih untuk mengambil jalan yang lebih mudah.

Dalam aspek bukan mekanikal, khususnya aspek senibina, penyerahan tanggungjawab menyediakan lukisan siapbina, manual operasi dan penyelenggaraan kepada Kontraktor tidak sepatutnya berlaku. Tidak seperti sistem mekanikal, Kontraktor biasanya bergantung kepada lukisan Arkitek dalam pembinaan. Meminta Kontraktor menyediakan lukisan siapbina hanya akan menyebabkan mereka menyalin lukisan Arkitek, mengeluarkan salinian yang tidak bermutu atau meminta Arkitek menyediakannya. Dalam mana-mana halpun adalah lebih mudah jika lukisan itu disediakan sahaja oleh Arkitek.

Dalam masa yang sama Arkitek perlu bijak mengenalpasti suasana dan komplikasi Kontrak yang dilaksanakan untuk menentu dan menyerahkan tanggungjawab penyediaan lukisan siapbina, manual operasi dan penyelenggaraan kepada siapa. Saiz dan magnitud projek hari ini ada kalanya sudah terlalu besar dan komplikated. Input komponen dan bahan binaan juga sudah terlalu berbagai. Arkitek mesti mengenali bangunan yang direkabentuknya dan membuat penyesuaian yang perlu.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

Mesothelioma
Mesothelioma