Wednesday, September 20, 2006

18.0 Kecederaan Kepada Orang-orang Atau Kerugian Dan/Atau Kerosakan Kepada Hartabenda Dan Indemniti Majikan

Indemniti oleh kontraktor terhadap tuntutan untuk kecederaan peribadi dan kematian
18.1
Kontraktor hendaklah bertanggungjawab dan hendaklah melepaskan tanggungan Majikan terhadap apa-apa kerosakan, perbelanjaan, liabiliti, kerugian, tuntutan atau prosiding samada terbit daripada undang-undang umum, atau statut yang berkaitan dengan kecederaan peribadi atau kematian kepada mana-mana orang jua yang terbit daripada atau kerana atau disebabkan oleh perlaksanaan Kerja.

Indemniti oleh kontraktor terhadap tuntutan untuk kerugian dan/atau kerosakan hartabenda
18.2
Kontraktor hendaklah bertanggungjawab dan hendaklah melepaskan tanggungan Majikan terhadap apa-apa kerosakan, perbelanjaan, liabiliti, kerugian, tuntutan atau prosiding dalam apa jua bentuk akibat daripada kerugian dan/atau kerosakan dalam apa-apa bentuk jua kepada harta atau orang, termasuklah Kerja dan apa-apa harta milik Majikan, selagi kerugian dan/atau kerosakan itu terbit daripada atau kerana atau disebabkan oleh perlaksanaan Kerja, dengan syarat sentiasanya bahawa yang demikian itu disebabkan oleh apa-apa kecuaian, ketidak-masukkan, pecah-mungkir Kontrak atau kemungkiran oleh Kontraktor atau oleh mana-mana orang yang Kontraktor bertanggung-jawab ke atasnya termasuklah orang suruhan dan agen Kontraktor dan mana-mana orang suruhan dan agen sub-kontraktor.

Indemniti oleh kontraktor terhadap tuntutan oleh pekerja
18.3
Kontraktor hendaklah bertanggungjawab dan hendaklah melepaskan tanggungan Majikan terhadap apa-apa kerosakan, perbelanjaan, liabiliti, kerugian, tuntutan atau prosiding dalam apa jua bentuk yang terbit daripada tuntutan daripada mana-mana atau kesemua pekerja yang digaji untuk dan bagi maksud melaksanakan Kerja dan kepada bayaran pampasan di bawah atau dengan sebab Akta Wang Pampasan Pekerja 1952 dan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

Indemniti tidak boleh ditewaskan
18.4
Semua indemniti yang diberikan oleh Kontraktor di bawah Klausa 18.1 sehingga 18.3 hendaklah tidak boleh ditewaskan atau dikurangkan dengan sebab apa-apa kecuaian atau ketidak-masukkan oleh Majikan atau Arkitek atau lain-lain wakil yang diberi kuasa dalam kegagalan untuk menyelia atau mengawal operasi tapak Kontraktor atau kaedah-kaedah kerja atau kerja-kerja sementara atau untuk mengesan atau menghalang atau untuk membaik-pulih kecacatan kerja-kerja atau untuk mempastikan perlaksanaan yang wajar ke atas apa-apa obligasi Kontraktor di bawah Kontrak ini.

17.0 Serah-hak dan Sub Kontrak

Serah-hak oleh majikan
17.1
Majikan hendaklah tidak, tanpa persetujuan bertulis daripada Kontraktor (yang mana persetujuan itu tidak boleh disekat atau dilewatkan secara yang tidak wajar), menyerah-hak (samada sebahagian atau keseluruhan) hak-hak, faedah dan keuntungan di bawah Kontrak, melainkan untuk satu maksud satu jaminan untuk bank dan institusi kewangan di pihak Majikan.

Serah-hak oleh kontraktor
17.2
Kontraktor hendaklah tidak, tanpa persetujuan bertulis daripada Majikan (yang mana persetujuan itu menjadi hak mutlak Majikan), menyerah-hak samada sebahagian atau keseluruhan hak-hak, faedah dan keuntungan di dalam dan di bawah Kontrak, melainkan untuk satu maksud satu jaminan untuk bank dan institusi kewangan di pihak Kontraktor untuk apa-apa bayaran yang akan dibayar atau menjadi terbayar di bawah Kontrak.

Sub-kontrak tidak dibenarkan
17.3
Kecuali di mana yang dibenarkan oleh Kontrak, Kontraktor tidak boleh memberikan sub-kontrak secara mutlak atau sebahagian besar daripada Kerja. Di mana Kontraktor memberikan sub-kontrak buruh sahaja untuk tukang-tukang, pekerja mahir dan separuh mahir untuk melaksanakan mana-mana bahagian daripada Kerja, ianya tidak akan dianggap sebagai sub-kontrak dalam maksud Klausa ini dan dia hendaklah kekal bertanggungjawab sepenuhnya kepada kualiti kerja dan mutu kerja dan ke atas apa-apa tindakan, kegagalan dan kecuaian pekerja tersebut.

16.0 Pemilikan Sebahagian Oleh Majikan

Pemilkan bahagian yang diduduki dengan izin
16.1
Jika pada bila-bila masa sebelum Siapkerja Praktikal Bagi Kerja, Majikan bercadang untuk mengambil milik dan mendiami mana-mana bahagian atau bahagian-bahagian Kerja (apa-apa bahagian yang kemudian dari itu dirujuk sebagai ‘Bahagian Yang DiDuduki’) dan izin daripada Kontraktor (yang mana persetujuan itu tidak boleh disekat atau dilewatkan secara yang tidak wajar) telah diperolehi, maka tanpa menjejaskan apa-apa yang dinyatakan atau dimaksudkan pada bahagian yang lain dalam Kontrak, Majikan boleh mengambil milikan keatas Bahagian Yang DiDuduki dan perkara-perkara berikut akan diterima-pakai:


Nilai bahagian yang diduduki


Siapkerja praktikal dan tanggungan kecacatan untuk bahagian yang diduduki


Pemilikan bahagian yang diduduki tanpa izin


Kontraktor hendaklah memindahkan peralatan

15.0 Siapkerja Praktikal dan Tanggungan Kecacatan

Sijil siapkerja praktikal
15.1
Apabila keseluruhan kerja telahpun Siap Secara Praktikal, Kontraktor hendaklah dengan segera memberi satu notis bertulis menyatakan hal sedemikian kepada Arkitek. Arkitek hendaklah dalam masa empatbelas (14) hari daripada itu melakukan satu daripada berikut:

Jadual kecacatan


Arahan untuk membaiki kecacatan


Sijil siap membaiki kecacatan

Sunday, September 17, 2006

14.0Bahan dan Barangan Yang Tidak Pasang

Bahan atau barangan tidak boleh dipindahkan
14.1
Bahan atau barangan yang telah dihantar ke Tapakbina untuk dimasukkan kedalam kedalam kerja-kerja kekal hendaklah tidak dipindahkan sehingga siap Kerja-kerja melainkan kebenaran sebelumnya telah diperolehi secara bertulis daripada Arkitek, yang mana kebenaran itu tidak boleh ditolak atau ditangguh secara yang tidak wajar.

Bahan atau barangan yang telah dibayar menjadi harta Majikan
14.2
Di mana nilai untuk apa-apa bahan atau barangan telah dimasukkan kedalam mana-mana Sijil Interim mengikut Klausa 30.3 dan Majikan telahpun membuat bayaran, bahan dan barangan tersebut hendaklah menjadi harta Majikan.

Tanggungjawab kepada kehilangan dan kerosakan kepada bahan atau barangan dan insuran
14.3
Kontraktor hendaklah bertanggungjawab kepada apa-apa kehilangan dan kerosakan pada bahan dan barangan termasuk bahan dan barangan yang dibekalkan oleh Sub Kontraktor DiNamakan dan Pembekal DiNamakan dan kepada kos insuran untuknya kecuali dan melainkan jika kehilangan dan/atau kerosakan itu disebabkan oleh tindakan atau kecuaian di pihak oleh Sub Kontraktor DiNamakan dan Pembekal DiNamakan.

Waranti kepada hak untuk bahan atau barangan
14.4
Kontraktor adalah dianggap sebagai telah secara sahih memiliki hak yang bebas daripada apa-apa pajakan keatas apa-apa bahan atau barangan apabila nilai bagi apa-apa bahan dan barangan tersebut telah dimasukkan dalam permohonan bayaran yang dibuat secara Sijil Interim. Dalam hal di mana Kontraktor mengemukakan waranti secara palsu, dia hendaklah menanggung-ganti apa-apa kerugian yang dialami oleh Majikan

13.0 Nilai Kontrak

Nilai Kontrak tidak boleh di ubahsuai atau dipinda
13.1
Nilai Kontrak tidak boleh diubahsuai atau dipinda dalam apa cara sekalipun melainkan dengan menurut peruntukan Kontrak dan tertakluk kepada Klausa 12.2. Apa-apa kesilapan samada arithmetik atau tidak dalam pengiraan Nilai Kontrak, hendaklah dianggap sebagai telah diterima oleh pihak-pihak terlibat. Apa-apa kesilapan arithmetik atau apa-apa kesilapan pada harga dan kadar harga hendaklah dibetulkan dan diubahsuai oleh Arkitek atau Jurukur Bahan sebelum Kontrak ditandatangani. Semua pembetulan dan pengubahsuaian kesilapan-kesilapan tersebut tidak akan memberi kesan kepada Nilai Kontrak tetapi jumlah agregat bersih bagi perbezaan di antara nilai yang diubahsuai dengan Nilai Kontrak , samada ianya kurangan bersih atau tambahan bersih hendaklah dikira sebagai peratusan daripada jumlah keseluruhan yang diubahsuai dan semua harga dan kadar harga dalam keseluruhan Bil Kontrak hendaklah tertakluk kepada peratusan diskaun atau tambahan sebagaimana sepatutnya. Walaubagaimanapun Wang Kos Prima dan Wang Peruntukan Sementara (dan apa-apa jumlah yang serupa) hendaklah dikecualikan daripada pengiraan tersebut dan tidak boleh tertakluk kepada penyesuaian peratusan tersebut.

12.0 Bil-bil Kontrak

Pengukuran kerja bangunan
12.1
Kualiti dan kuantiti bagi kerja yang termasuk dalam Nilai Kontrak hendaklah sepertimana yang dinyatakan dalam Bil Kontrak dan melainkan jika dinyatakan sebaliknya, hendaklah dianggap sebagai telah disediakan mengikut prinsip-prinsip Piawaian kaedah Pengukuran Kerja Bangunan (Standard Method Of Measurement Of Building Works) yang diluluskan oleh Institut Jurukur Bahan Malaysia dan masih berkuatkuasa.

Pembetulan kesilapan atau kurangan
12.2
Apa-apa kesilapan dalam deskripsi, kuantiti atau kurangan item antara Lukisan Kontrak dan Bil Kontrak tidak akan membatalkan Kontrak dan hendaklah dibetulkan oleh Arkitek.

11.0 Perubahan, Provisional dan Nilai Kos Prima

Definasi perubahan
11.1
Istilah ‘Perubahan’ yang digunakan dalam Syarat-syarat Kontrak ini bermaksud:

11.1 (i)
pindaan atau penyesuaian kepada rekabentuk, kualiti atau kuantiti Kerja yang dinyatakan dalam Lukisan Kontrak dan diterangkan atau dirujuk dalam Kontrak;
11.1 (ii)
tambahan, kurangan atau penggantian kepada apa-apa kerja;
11.1 (iii)
pindaan kepada jenis atau piawaian apa-apa bahan dan barangan yang digunakan dalam Kerja;
11.1 (iv)
pindahan dari Tapakbina apa-apa kerja yang telah dibuat atau bahan atau barangan yang dibawa kepadanya oleh Kontraktor bagi tujuan Kerja tetapi tidak termasuk kerja, bahan atau barangan yang tidak memenuhi keperluan Kontrak;
11.1 (v)
apa-apa pertukaran kepada peruntukan dalam Kontrak dalam hal: (a) apa-apa had masa kerja, (b) ruang kerja, (c) akses kepada atau penggunaan mana-mana bahagian khusus dalam Tapakbina dan/atau (d) perlaksanaan dan penyiapan kerja dalam turutan yang khusus; atau
11.1 (vi)
apa-apa perubahan yang diniatkan untuk menukar kegunaan mutakhir kepada Kerja yang dilaksanakan,

tetapi hendaklah tidak termasuk apa-apa arahan yang terbit daripada atau menjadi perlu kerana dan/atau melibatkan apa-apa perubahan ynag dimaksudkan untuk membaiki apa-apa keengganan dan/atau kegagalan Kontrak oleh Kontraktor dan/atau perubahan kepada kuantiti dalam Bil Kontrak yang dinyatakan sebaga Kuantiti Provisional di mana item-item tersebut akan diukur semula oleh Jurukur Bahan. Untuk mengelakkan keraguan, tidak ada AI yang diperlukan untuk pengukuran semula Kuantiti Provisional.

10.0 Kakitangan Tapak

Tugas kakitangan tapak
10.1
Majikan boleh dari masa ke semasa, melantik sebarang bilangan Kakitangan Tapak sebagamanai dirasakan sesuai oleh Majikan. Tugas-tugas Kakitangan Tapak adalah selaku pemeriksa bagi pihak Majikan di bawah arahan Arkitek dan Kontraktor hendaklah menyediakan segala fasiliti yang munasabah untuk melaksanakan tugas tersebut.

Arahan-arahan yang diberikan oleh kakitangan tapak
10.2
Apa-apa arahan yang diberikan kepada Kontraktor atau Wakil Tapak oleh Kakitangan Tapak berhubung dengan Kerja adalah tidak membawa sebarang kesan melainkan diberi secara bertulis dalam hal yang mereka secara khusus diberi kuasa oleh Arkitek secara bertulis. Semua arahan-arahan sedemikian yang melibatkan Perubahan hendaklah disahkan dengan satu AI .

9.0 Akses Untuk Arkitek Ke Tapakbina

Akses kepada kerja
9.1
Arkitek, konsultan-konsultan lain dan/atau wakil mereka yang diberikuasa hendaklah pada setiap masa diberi akses kepada Kerja dan kepada kilang-kilang, bengkel-bengkel, atau tempat-tempat lain di mana apa-apa loji pembinaan, bahan binaan, barangan atau kerja sedang dibuat, disediakan atau distorkan untuk Kontrak ini. Kontraktor hendaklah memastikan semua sub-kontrak mengandungi peruntukan-peruntukan yang membenarkan Arkitek, konsultan-konsultan lain dan/atau wakil mereka yang diberikuasa untuk mendapatkan akses tersebut.

8.0 Wakil Tapak

Wakil tapak dan Penolong
8.1
Kontraktor hendaklah melantik seorang yang mempunyai kelayakan dan pengalaman yang sesuai sebagai Wakil Tapak. Bagi maksud Kontrak ini, wakil tapak adalah dianggap sebagai wakil sah Kontraktor di tapak. Wakil Tapak hendaklah dibantu oleh pembantu-pembantu dan kakitangan-kakitangan pengawasan sebagaimana diperlukan untuk melaksanakan Kerja secara efisyen dan memuaskan. Wakil Tapak hendaklah digaji secara sepenuhmasa di Tapak dan di mana dia tidak berada di Tapak untuk sementara, Kontraktor hendaklah melantik pengganti ditempatnya.

Arahan kepada wakil tapak
8.2
Kontraktor hendaklah memastikan Wakil Tapak, pembantu-pembantunya dan kakitangan pengawasan boleh menerima arahan dalam Bahasa Inggeris atau Bahasa Malaysia.

Pemecatan orang-orang yang digaji dalam kerja
8.3
Arkitek boleh pada bila-bila masa atas budi-bicaranya, mengarahkan Kontraktor untuk memecat Wakil Tapak atau mana-mana kakitangan daripada Tapakbina. Budi-bicara Arkitek ini tidak boleh dilaksanakan secara tidak munasabah atau berniat serong. Kontraktor apabila menerima arahan, hendaklah dengan segera memecat atau mengganti kakitangan tersebut dalam masa yang munasabah, dan kakitangan yang telah dipecat itu hendaklah tidak lagi diambil bekerja di Tapakbina tanpa kebenaran bertulis dari Arkitek. Kontraktor tidak layak untuk mendapatkan apa-apa lanjutan masa dan/atau perbelanjaan dan/atau kerugian yang dialaminya berkaitan dengan arahan yang diberikan oleh Arkitek di bawah Klausa ini.
Klausa 8.1
Klausa ini saya percaya diniatkan untuk mempastikan bahawa Kontraktor mempunyai kakitangan yang mencukupi dari aspek pengalaman dan pengetahuan untuk melaksanakan Kontrak. Secara umumnya klausa ini memadai. Namun samada ianya cukup untuk menentukan kelicinan perjalanan Kontrak memerlukan pemerhatian yang mendalam oleh Arkitek dari peringkat awal sebelum pembinaan bermula. Malahan pemerhatian Arkitek di peringkat penyediaan dokumen tender kepada keperluan perjawatan akan memberi kesan kepada kelicinan Kontrak Kerja.

Peruntukan yang memerlukan Kontraktor melantik ‘seorang yang mempunyai kelayakan dan pengalaman yang sesuai’ dengan ‘dibantu oleh pembantu-pembantu dan kakitangan pengawasan sebagaimana diperlukan’ adalah satu peruntukan bersifat umum yang sesuai bagi Kontrak yang masih bersifat tradisi dan kecil dari aspek saiz dan mudah dari aspek kompleksiti kerja. Walaupun ianya memadai dari aspek Kontrak, ianya masih bersifat samar dalam menentukan keperluan pengawasan sebenar kepada Kerja dalam sesuatu Kontrak.

Kita mesti memahami bahawa ketepatan harga yang ditender oleh mana-mana Kontraktor adalah bergantung kepada ketepatan dan kejelasan dokumen tender yang menggariskan secara tepat keperluan Kerja termasuklah keperluan pengawasan yang diperlukan untuk menentukan kejayaannya. Kontraktor mengambil risiko dalam menghargakan tender dan sesuatu yang tidak jelas biasanya dihargakan pada tahap paling minima. Apa juga tambahan yang diperlukan oleh Majikan dan Arkitek selepas tender diterima menjadi asas untuk pertambahan kos. Adalah penting bagi Arkitek untuk memberikan nasihat yang tepat kepada Majikan mengenai keperluan pengawasan yang diharapkan daripada Kontraktor. Ia akan dapat menentukan jumlah kakitangan dengan kelayakan dan pengalaman yang sesuai disediakan oleh Kontraktor sepanjang tempoh Kontrak. Ini mungkin memerlukan pernyataan keperluan yang terperinci untuk diberi harga oleh Kontraktor dalam item ‘Preliminaries’ semasa tender.

Mungkin ada hujah, bahawa kesamaran dalam menentukan keperluan kakitangan pengawasan ini memberikan kelebihan kepada Majikan kerana harga tender yang mungkin lebih murah dan hak Majikan yang terbuka untuk meminta apa-apa bilangan dan kelayakan kakitangan pengawasan. Ini mungkin benar. Tetapi Kontraktor juga adalah peniaga yang akan sentiasa mencari jalan untuk memaksimakan keuntungan, termasuklah mengadakan kakitangan pengawasan yang paling minima atau menyerahkan tugas itu seluruhnya kepada sub-kontraktor mereka. Membenarkan hal ini berlaku adalah merancang untuk mengalami kegagalan yang mungkin tidak dapat dibaiki diperingkat akhirnya.

Secara peribadi saya telah kerap melalui perlaksanaan Kontrak yang tidak dijaga oleh sumber manusia yang cukup di pihak Kontraktor. Kakitangan tapak Kontraktor bukan sahaja perlu cukup dari aspek bilangan malah perlu cukup juga dari segi pengetahuan dan pengalaman dan juga cukup dari segi kuasa untuk membuat keputusan. Ketiga-tiga aspek ini amat penting diberi perhatian. Ada Kontrak yang menghadapi masalah kerana kakitangan pengawasan yang kurang bijak tetapi ada juga yang masih menghadapi masalah walaupun dengan kakitangan yang berpengalaman kerana mereka tidak diberi kuasa untuk membuat keputusan. Dalam tender untuk projek multi-nasional seperti dalam industri minyak dan gas, hal ini dikenalpasti di peringkat awal dan keperluan perjawatan Kontraktor diperincikan dalam tender lagi. Malah kriteria dalam penilaian tender membenarkan Majikan membuat pilihan kepada kakitangan tapakbina yang bersesuaian. Mungkin kita boleh menerima pakai keperluan perjawatan kakitangan tapak Kontraktor seperti yang diamalkan dalam kontrak multinasional dan disesuaikan mengikut saiz dan kompleksiti Kontrak yang sedang kita laksanakan.

Kakitangan Kontraktor yang dicadangkan.

1. Pengarah Projek yang mestilah daripada salah seorang ahli lembaga pengarah syarikat kontraktor atau kakitangan pengurusan kanan yang diberi kuasa membuat keputusan.
2. Pengurus Projek yang mestilah seorang profesional atau separa profesional dalam bidang kejuruteraan awam atau struktur atau arkitek atau jurukur bahan yang mempunyai pengalaman yang bersesuaian.
3. Penyelia Tapak atau biasanya dipanggil ‘site foremen’ yang berpengalaman.
4. Kepala-kepala kerja bagi bidang-bidang berkaitan.
5. Perancang Projek (Project Planner) yang mempunyai kemahiran dalam perancangan kerja samada secara manual atau menggunakan perisian seperti ‘Primavera’ atau ‘Microsoft Project’
6. Jurukur Bahan.
7. Pegawai Keselamatan sebagaimana disyaratkan dibawah Akta Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia mengikut nilai Kontrak.

Perlu diingat bahawa industri pembinaan kita masih berada pada tahap peralihan daripada industri berasaskan pengalaman kepada industri yang profesional. Masih ramai daripada ‘ahli-ahli’ dalam pembinaan merupakan golongan veteran yang tidak mempunyai kelayakan bersijil. Ini memerlukan Arkitek untuk peka kepada keadaan. Dalam masa yang sama juga, Arkitek mesti mengetahui peruntukan undang-undang berhubung pembinaan khususnya Akta Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia dan setidak-tidaknya mempastikan kakitangan Kontraktor di tapakbina mempunyai kelayakan dan didaftarkan untuk gred tugas atau tred yang ditetapkan. Klausa ini sekalipun tidak menyebut secara khusus, boleh dikembangkan untuk mempastikan semua kakitangan daripada peringkat pengurusan hinggalah ke peringkat buruh memenuhi keperluan Akta tersebut.

Klausa 8.2
Klausa ini merujuk kepada suasana sebenar yang unik dalam industri pembinaan di Malaysia. Dari sudut sejarah, industri pembinaan Malaysia didominasi oleh kaum Cina sebelum kemunculan kontraktor-kontraktor Melayu hasil dari Dasar Ekonomi Baru. Kontrak dan lukisan kerja pula sebahagian besarnya dalam bahasa Inggeris. Sebahagian dari ‘kepala-kepala’ dalam pembinaan adalah tukang-tukang veteran kaum Cina yang tidak boleh memahami Bahasa Melayu apatah lagi Bahasa Inggeris. Mulai tahun 80an, industri pembinaan mengalami kemasukan pekerja dari Indonesia dan Thailand dan dikuti kemudiannya oleh pekerja dari Bangladesh dalam tahun 90an. Kebelakangan ini pula, mulai tahun 2000 pekerja-pekerja dibawa masuk dari Vietnam.

Wajah antarabangsa industri ini memerlukan Klausa ini dimasukkan sebagai satu syarat Kontrak, supaya satu saluran komunikasi setidak-tidaknya ujud pada setiap masa di tapakbina.

Dalam suasana yang ideal, Arkitek hanya perlu mengekalkan hubungan arahan dengan Pengurus Projek atau Penyelia Tapak yang kemudiannya akan menyampaikan arahan atau penerangan ke peringkat bawah. Tetapi dalam situasi sebenar Arkitek mungkin terpaksa berhubung secara terus dengan peringkat buruh. Melalui pengalaman peribadi, penglibatan terus ini memberikan kesan yang efektif kepada kerja. Arkitek-arkitek muda mungkin akan mendapati pengalaman sebegini sebagai mencabar tetapi boleh membawa kepuasan. Namun demikian, Arkitek mestilah sentiasa akur kepada keperluan untuk memberikan arahan bertulis sebagaimana keperluan Kontrak.

Klausa 8.3
Klausa ini secara umumnya memberikan kuasa yang mutlak kepada Arkitek dalam pengurusan tapakbina. Mana-mana kakitangan Kontraktor tidak terhad kepada kakitangan pengawasan sahaja boleh diarah untuk diberhentikan daripada bekerja di tapakbina. Untuk mengelakkan daripada penyalahgunaan kuasa Arkitek, semua arahan untuk memberhentikan kakitangan mestilah disertakan dengan bukti kegagalan atau ketidakupayaan mereka.


7.0 Royalti Dan Paten Hak Cipta Intelektual

Indemniti kepada majikan terhadap tuntutan untuk hak cipta intelektual
7.1
Tertakluk kepada Klausa 7.2 yang berikut, semua royalti dan jumlah yang perlu dibayar berhubung dengan artikel-artikel, proses-proses, ciptaan-ciptaan atau lukisan-lukisan yang dinyatakan dan diterangkan dalam Bil Kontrak untuk melaksanakan Kerja (selain daripada lukisan-lukisan yang disediakan oleh Arkitek) adalah dianggap sebagai telah termasuk dalam Nilai Kontrak. Kontraktor hendaklah memberikan indemniti kepada Majikan daripada atau terhadap apa-apa tuntutan, prosiding, gantirugi, kos dan perbelanjaan yang mungkin dikemukakan kepada Majikan atau yang boleh dikenakan kepadanya dengan sebab Kontraktor menyalahguna atau didapati menyalahguna sebarang hak harta intelek yang bekaitan dengan dengan artikel-artikel, proses-proses, ciptaan-ciptaan atau lukisan-lukisan yang dinyatakan.

Liabiliti Kontraktor untuk membayar hak milik harta intelek
7.2
Di mana dengan sebab mematuhi satu AI, Kontraktor membekal dan mengguna bagi tujuan Kerja, artikel-artikel, proses-proses, ciptaan-ciptaan atau lukisan-lukisan yang telah dimaklumkan oleh Kontraktor kepada Arkitek secara bertulis tentang kemungkinan penyalahgunaan hak milik harta intelek, tetapi masih diarah oleh Arkitek untuk meneruskan pematuhan kepada arahan, Kontraktor tidak lagi bertanggungjawab jika berlaku apa-apa penyalahgunaan atau tuduhan peyalahgunaan kepada apa-apa harta intelek tersebut. Semua royalti, gantirugi atau apa-apa wang yang sepatutnya menjadi tanggungjawab Kontraktor untuk harta intelek sedemikian hendaklah ditambah kepada Nilai Kontrak.

Royalti Kerajaan
7.3
Melainkan jika diperuntukkan sebaliknya oleh Kontrak, Kontraktor hendaklah membayar kepada Kerajaan semua royalti, caj berat muatan, levi, sewa dan apa-apa bayaran atau gantirugi yang bersangkutan dengan Kerja.

Wednesday, September 06, 2006

6.0 Bahan, barangan dan Mutu-Kerja Hendaklah Mematuhi Deskripsi, Ujian dan Pemeriksaan

Piawaian kerja, bahan, mutu-kerja dan barangan
6.1
Semua kerja, bahan, mutu-kerja, dan barangan hendaklah daripada jenis dan piawaian yang dinyatakan dalam Dokumen Kontrak dan/atau dikehendaki oleh Arkitek sebagaimana dengan peruntukan Kontrak.

Pengeluaran baucer
6.2
Kontraktor hendaklah apabila diminta oleh Arkitek, menngemukakan baucer atau bukti-bukti lain untuk membuktikan bahawa bahan dan barangan mematuhi Klausa 6.1.

Pemeriksaan dan ujian
6.3
Kontraktor hendaklah menyediakan sampel bahan dan barangan sebelum menggunapakai dalam Kerja dan untuk pemeriksaan sebagaimana dipilih dan diperlukan oleh Arkitek. Dengan syarat bahawa Arkitek boleh mengeluarkan arahan-arahan yang memerlukan Kontraktor membuka untuk pemeriksaan apa-apa kerja yang ditutup atau untuk menjalankan apa-apa ujian atas apa-apa bahan atau barangan (samada telah di gunapakai dalam Kerja atau tidak) atau atas apa-apa kerja yang telah siap. Kos untuk membuka atau menguji (termasuk kos membaikpulih yang berikutnya) hendaklah ditambah kepada Nilai Kontrak melainkan telah dimasukkan dalam Bil Kontrak atau jika pemeriksaan atau ujian menunjukkan kerja-kerja, bahan atau barangan telah tidak mematuhi Kontrak atau jika pemeriksaan dan/atau ujian dibuat atas pendapat Arkitek diperlukan sebagai lanjutan daripada kegagalan yang telah berlaku atau ketidakpatuhan Kontrak atau lain-lain kemungkiran Kontraktor.

Obligasi Kontraktor tidak dilepaskan
6.4
Peruntukan Klausa 6.2 dan 6.3 tidak akan melepaskan Kontraktor daripada obligasinya untuk melaksanakan kerja dan membekalkan bahan dan barangan menurut Kontrak

Kuasa arkitek – kerja yang tidak menurut kontrak
6.5
Jika Arkitek semasa kemajuan Kerja mendapati apa-apa kerja, bahan mutu kerja dan barangan yang tidak menurut keperluan Kontrak, Arkitek boleh mengarahkan Kontraktor supaya membawa keluar dari tapakbina dan/atau tidak membawa ke tapakbina sebarang bahan atau barangan yang pada pendapat Arkitek tidak menurut Kontrak, dan/atau melakukan apa-apa daripada di bawah:

6.5(i)
Meroboh dan membina semula apa-apa kerja supaya ia menurut Kontrak

6.5(ii)
Mengemukakan penyata kaedah (method statement) dalam masa tujuh (7) hari daripada penerimaan AI (atau dalam tempoh yang boleh dinyatakan oleh Arkitek dalam arahan) mencadangkan cara mana kerja-kerja yang defektif, bahan dan barangan boleh diperbaiki supaya ianya menurut Kontrak. Arkitek kemudiannya boleh menerima cadangan Kontraktor, dan Kontraktor melaksanakan kerja-kerja pembaikan tanpa penyesuaian kepada Nilai Kontrak atau sebagai alternatif, Arkitek boleh menolak cadangan dan mengeluarkan apa-apa arahan lain di bawah Klausa ini;

6.5(iii)
Dengan kebenaran Majikan, Arkitek boleh mengarahkan Kontraktor untuk membiarkan apa-apa kerja, bahan atau barangan yang tidak menurut Kontrak tertakluk kepada pengurangan yang berpatutan bagi kerja, bahan dan barangan yang tidak menurut Kontrak yang akan dipotong daripada Nilai Kontrak; atau

6.5(iv)
Melaksanakan kerja pembaikan sebagaimana diarah oleh Arkitek tanpa penyesuaian Nilai Kontrak.

Pematuhan AI – tiada imbuhan untuk masa dan kos
6.6
Pematuhan oleh Kontraktor kepada AI yang dikeluarkan di bawah Klausa 6.5 tidak memberikan hak kepada Kontraktor untuk mendapatkan lanjutan masa dan tidak juga imbuhan kepada apa-apa kerugian dan/atau perbelanjaan yang mungkin terlibat.

Kuasa arkitek – kegagalan kontraktor mematuhi
6.7
Jika Kontraktor gagal dan/atau enggan mematuhi satu arahan daripada Arkitek yang dikeluarkan di bawah Klausa 6.0, Majikan boleh, tanpa prejudis kepada apa-apa hak dan remedi yang dimilikinya di bawah Kontrak, menggaji dan membayar Orang-orang lain untuk melaksanakan hal yang diberi Arahan tersebut. Apa-apa kerugian dan/atau perbelanjaan yang terbit atau ditanggung oleh Majikan tersebut hendaklah boleh diimbuhi daripada Kontraktor sebagai satu hutang atau boleh dipotong daripada sebarang wang yang terhutang atau akan terhutang kepada Kontraktor di bawah Kontrak ini dan jika tidak dapat dilaksanakan, Majikan boleh mengimbuhi jumlah tersebut daripada Bon Perlaksanaan. Majikan hendaklah memaklumkan kepada Kontraktor secara bertulis sebarang pemotongan atau sebarang hutang yang akan dituntut daripada Kontraktor.

Waranti berhubung dengan bahan binaan atau barangan
6.8
Jika Kontrak menghendaki mana-mana pengeluar, sub-kontraktor atau pembekal untuk memberikan satu waranti atau jaminan berhubung dengan apa-apa bahan binaan atau barangan yang dibekalkan di bawah Kontrak ini, Kontraktor hendaklah mendapatkan waranti atau jaminan tersebut dan mengemukakan kepada Majikan. Penyediaan waranti dan jaminan sedemikian hendaklah tidak dalam apa-apa carapun melepaskan atau membebaskan Kontraktor daripada apa-apa liabiliti di bawah Kontrak ini.

5.0 Aras dan ‘Setting Out’ Kerja

‘Setting out’
5.1
Arkitek hendaklah menentukan semua aras yang diperlukan untuk melaksanakan Kerja, dan hendaklah menyediakannya untuk Kontraktor dalam bentuk lukisan-lukisan yang diberi dimensi secara tepat dan dengan maklumat yang membolehkan Kontraktor melakukan ‘set out’ Kerja pada aras tanah. Kontraktor hendaklah bertanggungjawab dan hendaklah dengan kosnya sendiri membetulkan apa-apa kesilapan yang mungkin terbit daripada kegagalannya melakukan ‘setting-out’ yang tepat. Dengan izin Majikan Arkitek boleh menerima kesilapan tersebut tertakluk kepada pemotongan yang akan dibuat kepada Nilai Kontrak.

Ulasan
Penentuan aras dan ‘setting out’ melibatkan 3 peringkat kerja iaitu penentuan diperingkat rekabentuk, penandaan diperingkat kerja tapakbina dan akhirnya pendokumentasian penandaan tersebut secara sah dan profesional.

Melalui Klausa 5.0 ini, Kontrak meletakkan tanggungjawab menentukan aras kerja dan ‘setting-out’ hanya kepada Arkitek dan tidak kepada Majikan, Kontraktor atau Jurutera. Walaupun tidak secara khusus, peruntukan Klausa ini saya rasa merangkumi juga semua aspek yang melibatkan kerja ukur yang lain seperti, penentuan tanda aras (bench-mark), tanda aras sementara (temporary bench mark), kerja ukur cerucuk dan kawalan tegak (vertical control). Ini bermakna Arkitek perlu memasukkan dalam senarai lukisannya satu lukisan “Setting-Out’ yang lengkap dengan segala ‘bearing’ kompas berdasarkan kepada pelan ukur yang sah termasuk pelan ukur yang disediakan oleh Jurukur Berlesen dan Pelan Teraku / ‘Certified Plan’ (CP) yang mesti diperolehi daripada Pejabat Tanah. Saya perlu menyebut hal ini kerana Arkitek sering mengambil jalan mudah atau terlalu berjimat sehingga gagal membeli pelan CP dan melantik Jurukur Berlesen atau terlalu takut untuk meminta Majikan membeli pelan CP dan melantik Jurukur Berlesen diperingkat awal projek iaitu semasa peringkat rekabentuk lagi.

Sebaik sahaja pelan ‘setting-out serta maklumat yang berkaitan diserahkan, maka tanggungjawab atas ketepatan ‘setting-out’ dan penentuan aras pada aras tanah semasa tersebut beralih kepada Kontraktor. Semua tugas penentuan ditapak bina ini hendaklah dilakukan oleh Jurukur Berlesen.

Dalam norma industri pembinaan, khususnya dalam projek-projek kecil, kerja-kerja penentuan ‘setting out’ dan aras di pihak Kontraktor dibuat oleh jurukur yang bekerja dengan Kontraktor dibawah pengawasan Jurukur Berlesen. Arkitek mesti menekankan kepada pengesahan oleh Jurukur berlesen ke atas semua pelan-pelan berkenaan tidak kira siapapun yang dilantik oleh Kontraktor untuk melakukan pengukuran.

Apabila kerja-kerja penandaan di tapak ini siap, lukisan siapbina perlu disediakan oleh Kontraktor untuk pengesahan dan rekod. Lukisan siap-bina ‘setting out’ ini kemudiannya disahkan dengan tandatangan Jurukur Berlesen. Ada masanya meminta Arkitek mengesahkan lukisan tersebut. Saya nasihatkan supaya Arkitek tidak melakukan apa-apa pengesahan atas ketepatan atau kesahihan kerja-kerja ukur tersebut selain daripada menandatangani sebagai pemerhati. Risiko yang diambil oleh Arkitek untuk mengesahkan apa-apa aras dan ‘setting out’ adalah besar apatahlagi jika lukisan tersebut tidak disahkan dan ditandatangani terlebih dahulu oleh Jurukur Berlesen.


Dalam Klausa 5.1, dua peruntukan disebut.
Pertama, tanggungjawab Kontraktor untuk membetulkan kesilapan yang terbit dalam ‘setting out’ dengan perbelanjaan sendiri dan kedua, hak Majikan untuk menerima kerja yang salah ‘setting out ’ atau arasnya dengan pengurangan kos. Klausa ini tidak pula menyebut apa-apa tentang tambahan kos atau kaedah menentukan pemotongan jika berlaku. Tanpa kaedah yang jelas, adalah dibimbangi pemotongan ini dilakukan sebagai satu penalti yang tidak dibenarkan oleh Kontrak.

Sebelum membuat syor supaya Majikan menerima kerja yang silap dan memotong sebahagian dari kos, Arkitek perlu berhati-hati dalam beberapa aspek yang dinyatakan di bawah;

1. Kesilapan ‘setting out’ tidak mengakibatkan lencongan daripada sempadan yang sah atau memasuki sempadan lot lain khususnya dalam kes perumahan atau pembangunan teres,

2. Kesilapan itu tidak menyebabkan binaan siap berada diluar daripada kawalan sempadan statutori seperti garis anjakan bangunan atau apa-apa anjakan yang ditentukan oleh pihak berkuasa,

3. Potensi pertambahan kos untuk membetulkan kesilapan semasa atau pembetulan lanjutan tersebut telah dikenalpasti sebagai tidak wujud,

4. Dalam kes pembangunan yang kompleks dan pembangunan industri, kesilapan itu tidak terkeluar daripada had toleran yang dibenarkan yang akan mengakibatkan kegagalan penyambungan atau jajaran keseluruhan.

5. Tindakan pemotongan kos hanya dibuat selepas hal-hal di atas dipastikan dan tindakan pembetulan dibuat untuk memperbaiki kesilapan

Arkitek yang mengesyorkan supaya Majikan menerima kesilapan tanpa mengira risiko hadapan yang tidak dapat dipastikan, hanya mendedahkan dirinya kepada tuntutan kecuaian profesional.

Hal ketepatan penandaan dan ukur ini juga mesti dilihat berkait dengan UBBL khususnya pengesahan pancang tanda dan pengemukaan Borang C [Klausa 23 UBBL, 1984].

4.0 Obligasi Statutori, Notis dan Caj


Keperluan Statutori
4.1
Kontraktor hendaklah mematuhi dan memberikan semua notis-notis bertulis yang diperlukan oleh apa-apa undang-undang bertulis, peraturan-peraturan, undang-undang kecil, terma-terma dan syarat-syarat daripada mana-mana Pihak Berkuasa Berkaitan dan/atau Pembekal Perkhidmatan yang mempunyai jurisdiksi berkaitan dengan Kerja atau yang mana sistem-sistemnya akan disambungkan.

Ketidaksamaan atau lencongan daripada keperluan statutori
4.2
Jika Kontraktor mendapati apa-apa ketidaksamaan atau lencongan di antara Dokumen Kontrak termasuk dokumen-dokumen tambahan yang dikeluarkan oleh Arkitek dengan apa-apa undang-undang bertulis, peraturan-peraturan, undang-undang kecil, terma-terma dan syarat-syarat mana-mana Pihak Berkuasa Berkaitan dan/atau Pembekal Perkhidmatan, beliau hendaklah dengan serta-merta memberikan kepada Arkitek satu notis bertulis menyatakan ketidaksamaan atau lencongan tersebut.

Pematuhan keperluan statutori
4.3
Jika dalam tujuh (7) hari setelah menyerahkan notis-notis bertulis tersebut daripada Arkitek, Kontraktor tidak menerima apa-apa arahan bertulis berkenaan dengan hal-hal yang dinyatakan, beliau hendaklah meneruskan kerja untuk mematuhi undang-undang bertulis, peraturan-peraturan, undang-undang kecil, terma-terma dan syarat-syarat daripada mana-mana Pihak Berkuasa Berkaitan dan/atau Pembekal Perkhidmatan. Dalam hal ini, kos untuk melaksanakan pematuhan hendaklah dianggap sebagai satu Arahan Perubahan oleh Arkitek sekalipun tidak ada AI yang dikeluarkan.

Fee, levi dan caj
4.4
Kontraktor hendaklah membayar dan melepaskan tanggungan Majikan terhadap apa-apa liabiliti berhubung dengan fee, levi dan caj yang mungkin terbit daripada kegagalan mematuhi apa-apa peraturan-peraturan, undang-undang kecil, terma-terma dan syarat-syarat daripada mana-mana Pihak Berkuasa Berkaitan dan/atau Pembekal Perkhidmatan yang berkaitan dengan Kerja. Jika Kontraktor gagal membayar fee, levi dan caj tersebut dan dikenakan penalti dikenakan, Majikan boleh membayar jumlah tersebut dan memulihkan semula jumlah tersebut sebagai satu hutang atau memotong jumlah tersebut dari apa-apa wang yang terhutang atau akan terhutang kepada Kontraktor di bawah Kontrak dan sekiranya gagal, Majikan boleh memulihkan jumlah tersebut daripada Bon Perlaksanaan. Majikan hendaklah memaklumkan pemotongan atau hutang daripada Kontraktor tersebut secara bertulis.

Mesothelioma
Mesothelioma