Wednesday, September 06, 2006

5.0 Aras dan ‘Setting Out’ Kerja

‘Setting out’
5.1
Arkitek hendaklah menentukan semua aras yang diperlukan untuk melaksanakan Kerja, dan hendaklah menyediakannya untuk Kontraktor dalam bentuk lukisan-lukisan yang diberi dimensi secara tepat dan dengan maklumat yang membolehkan Kontraktor melakukan ‘set out’ Kerja pada aras tanah. Kontraktor hendaklah bertanggungjawab dan hendaklah dengan kosnya sendiri membetulkan apa-apa kesilapan yang mungkin terbit daripada kegagalannya melakukan ‘setting-out’ yang tepat. Dengan izin Majikan Arkitek boleh menerima kesilapan tersebut tertakluk kepada pemotongan yang akan dibuat kepada Nilai Kontrak.

Ulasan
Penentuan aras dan ‘setting out’ melibatkan 3 peringkat kerja iaitu penentuan diperingkat rekabentuk, penandaan diperingkat kerja tapakbina dan akhirnya pendokumentasian penandaan tersebut secara sah dan profesional.

Melalui Klausa 5.0 ini, Kontrak meletakkan tanggungjawab menentukan aras kerja dan ‘setting-out’ hanya kepada Arkitek dan tidak kepada Majikan, Kontraktor atau Jurutera. Walaupun tidak secara khusus, peruntukan Klausa ini saya rasa merangkumi juga semua aspek yang melibatkan kerja ukur yang lain seperti, penentuan tanda aras (bench-mark), tanda aras sementara (temporary bench mark), kerja ukur cerucuk dan kawalan tegak (vertical control). Ini bermakna Arkitek perlu memasukkan dalam senarai lukisannya satu lukisan “Setting-Out’ yang lengkap dengan segala ‘bearing’ kompas berdasarkan kepada pelan ukur yang sah termasuk pelan ukur yang disediakan oleh Jurukur Berlesen dan Pelan Teraku / ‘Certified Plan’ (CP) yang mesti diperolehi daripada Pejabat Tanah. Saya perlu menyebut hal ini kerana Arkitek sering mengambil jalan mudah atau terlalu berjimat sehingga gagal membeli pelan CP dan melantik Jurukur Berlesen atau terlalu takut untuk meminta Majikan membeli pelan CP dan melantik Jurukur Berlesen diperingkat awal projek iaitu semasa peringkat rekabentuk lagi.

Sebaik sahaja pelan ‘setting-out serta maklumat yang berkaitan diserahkan, maka tanggungjawab atas ketepatan ‘setting-out’ dan penentuan aras pada aras tanah semasa tersebut beralih kepada Kontraktor. Semua tugas penentuan ditapak bina ini hendaklah dilakukan oleh Jurukur Berlesen.

Dalam norma industri pembinaan, khususnya dalam projek-projek kecil, kerja-kerja penentuan ‘setting out’ dan aras di pihak Kontraktor dibuat oleh jurukur yang bekerja dengan Kontraktor dibawah pengawasan Jurukur Berlesen. Arkitek mesti menekankan kepada pengesahan oleh Jurukur berlesen ke atas semua pelan-pelan berkenaan tidak kira siapapun yang dilantik oleh Kontraktor untuk melakukan pengukuran.

Apabila kerja-kerja penandaan di tapak ini siap, lukisan siapbina perlu disediakan oleh Kontraktor untuk pengesahan dan rekod. Lukisan siap-bina ‘setting out’ ini kemudiannya disahkan dengan tandatangan Jurukur Berlesen. Ada masanya meminta Arkitek mengesahkan lukisan tersebut. Saya nasihatkan supaya Arkitek tidak melakukan apa-apa pengesahan atas ketepatan atau kesahihan kerja-kerja ukur tersebut selain daripada menandatangani sebagai pemerhati. Risiko yang diambil oleh Arkitek untuk mengesahkan apa-apa aras dan ‘setting out’ adalah besar apatahlagi jika lukisan tersebut tidak disahkan dan ditandatangani terlebih dahulu oleh Jurukur Berlesen.


Dalam Klausa 5.1, dua peruntukan disebut.
Pertama, tanggungjawab Kontraktor untuk membetulkan kesilapan yang terbit dalam ‘setting out’ dengan perbelanjaan sendiri dan kedua, hak Majikan untuk menerima kerja yang salah ‘setting out ’ atau arasnya dengan pengurangan kos. Klausa ini tidak pula menyebut apa-apa tentang tambahan kos atau kaedah menentukan pemotongan jika berlaku. Tanpa kaedah yang jelas, adalah dibimbangi pemotongan ini dilakukan sebagai satu penalti yang tidak dibenarkan oleh Kontrak.

Sebelum membuat syor supaya Majikan menerima kerja yang silap dan memotong sebahagian dari kos, Arkitek perlu berhati-hati dalam beberapa aspek yang dinyatakan di bawah;

1. Kesilapan ‘setting out’ tidak mengakibatkan lencongan daripada sempadan yang sah atau memasuki sempadan lot lain khususnya dalam kes perumahan atau pembangunan teres,

2. Kesilapan itu tidak menyebabkan binaan siap berada diluar daripada kawalan sempadan statutori seperti garis anjakan bangunan atau apa-apa anjakan yang ditentukan oleh pihak berkuasa,

3. Potensi pertambahan kos untuk membetulkan kesilapan semasa atau pembetulan lanjutan tersebut telah dikenalpasti sebagai tidak wujud,

4. Dalam kes pembangunan yang kompleks dan pembangunan industri, kesilapan itu tidak terkeluar daripada had toleran yang dibenarkan yang akan mengakibatkan kegagalan penyambungan atau jajaran keseluruhan.

5. Tindakan pemotongan kos hanya dibuat selepas hal-hal di atas dipastikan dan tindakan pembetulan dibuat untuk memperbaiki kesilapan

Arkitek yang mengesyorkan supaya Majikan menerima kesilapan tanpa mengira risiko hadapan yang tidak dapat dipastikan, hanya mendedahkan dirinya kepada tuntutan kecuaian profesional.

Hal ketepatan penandaan dan ukur ini juga mesti dilihat berkait dengan UBBL khususnya pengesahan pancang tanda dan pengemukaan Borang C [Klausa 23 UBBL, 1984].

2 Comments:

At 3:50 PM, March 04, 2011, Blogger Unknown said...

Makasih Tuan..

 
At 5:05 AM, March 05, 2011, Blogger din abdul majid said...

En Hafizi

Assalamualaikum
Terima kasih kerana mencari dan membaca. Artikel itu sebenarnya telah
lama ditulis. PAM telah mengubah kontrak 2 kali selepas itu yang
menyebabkan saya mengambil keputusan memberhentikannya buat sementara
selepas 2006. Agaknya masa berlalu terlalu cepat dan sekarang sudah
2011. Walau bagaimanapun prinsip2 asas Kontrak tersebut masih sama
cuma perlu dilihat dalam konteks Kontrak PAM terkini. Untuk
perbincangan En Hafizi boleh berhung dengan saya di
dinn@puncacipta.com.my. Terimakasih

 

Post a Comment

<< Home

Mesothelioma
Mesothelioma