Sunday, September 17, 2006

8.0 Wakil Tapak

Wakil tapak dan Penolong
8.1
Kontraktor hendaklah melantik seorang yang mempunyai kelayakan dan pengalaman yang sesuai sebagai Wakil Tapak. Bagi maksud Kontrak ini, wakil tapak adalah dianggap sebagai wakil sah Kontraktor di tapak. Wakil Tapak hendaklah dibantu oleh pembantu-pembantu dan kakitangan-kakitangan pengawasan sebagaimana diperlukan untuk melaksanakan Kerja secara efisyen dan memuaskan. Wakil Tapak hendaklah digaji secara sepenuhmasa di Tapak dan di mana dia tidak berada di Tapak untuk sementara, Kontraktor hendaklah melantik pengganti ditempatnya.

Arahan kepada wakil tapak
8.2
Kontraktor hendaklah memastikan Wakil Tapak, pembantu-pembantunya dan kakitangan pengawasan boleh menerima arahan dalam Bahasa Inggeris atau Bahasa Malaysia.

Pemecatan orang-orang yang digaji dalam kerja
8.3
Arkitek boleh pada bila-bila masa atas budi-bicaranya, mengarahkan Kontraktor untuk memecat Wakil Tapak atau mana-mana kakitangan daripada Tapakbina. Budi-bicara Arkitek ini tidak boleh dilaksanakan secara tidak munasabah atau berniat serong. Kontraktor apabila menerima arahan, hendaklah dengan segera memecat atau mengganti kakitangan tersebut dalam masa yang munasabah, dan kakitangan yang telah dipecat itu hendaklah tidak lagi diambil bekerja di Tapakbina tanpa kebenaran bertulis dari Arkitek. Kontraktor tidak layak untuk mendapatkan apa-apa lanjutan masa dan/atau perbelanjaan dan/atau kerugian yang dialaminya berkaitan dengan arahan yang diberikan oleh Arkitek di bawah Klausa ini.
Klausa 8.1
Klausa ini saya percaya diniatkan untuk mempastikan bahawa Kontraktor mempunyai kakitangan yang mencukupi dari aspek pengalaman dan pengetahuan untuk melaksanakan Kontrak. Secara umumnya klausa ini memadai. Namun samada ianya cukup untuk menentukan kelicinan perjalanan Kontrak memerlukan pemerhatian yang mendalam oleh Arkitek dari peringkat awal sebelum pembinaan bermula. Malahan pemerhatian Arkitek di peringkat penyediaan dokumen tender kepada keperluan perjawatan akan memberi kesan kepada kelicinan Kontrak Kerja.

Peruntukan yang memerlukan Kontraktor melantik ‘seorang yang mempunyai kelayakan dan pengalaman yang sesuai’ dengan ‘dibantu oleh pembantu-pembantu dan kakitangan pengawasan sebagaimana diperlukan’ adalah satu peruntukan bersifat umum yang sesuai bagi Kontrak yang masih bersifat tradisi dan kecil dari aspek saiz dan mudah dari aspek kompleksiti kerja. Walaupun ianya memadai dari aspek Kontrak, ianya masih bersifat samar dalam menentukan keperluan pengawasan sebenar kepada Kerja dalam sesuatu Kontrak.

Kita mesti memahami bahawa ketepatan harga yang ditender oleh mana-mana Kontraktor adalah bergantung kepada ketepatan dan kejelasan dokumen tender yang menggariskan secara tepat keperluan Kerja termasuklah keperluan pengawasan yang diperlukan untuk menentukan kejayaannya. Kontraktor mengambil risiko dalam menghargakan tender dan sesuatu yang tidak jelas biasanya dihargakan pada tahap paling minima. Apa juga tambahan yang diperlukan oleh Majikan dan Arkitek selepas tender diterima menjadi asas untuk pertambahan kos. Adalah penting bagi Arkitek untuk memberikan nasihat yang tepat kepada Majikan mengenai keperluan pengawasan yang diharapkan daripada Kontraktor. Ia akan dapat menentukan jumlah kakitangan dengan kelayakan dan pengalaman yang sesuai disediakan oleh Kontraktor sepanjang tempoh Kontrak. Ini mungkin memerlukan pernyataan keperluan yang terperinci untuk diberi harga oleh Kontraktor dalam item ‘Preliminaries’ semasa tender.

Mungkin ada hujah, bahawa kesamaran dalam menentukan keperluan kakitangan pengawasan ini memberikan kelebihan kepada Majikan kerana harga tender yang mungkin lebih murah dan hak Majikan yang terbuka untuk meminta apa-apa bilangan dan kelayakan kakitangan pengawasan. Ini mungkin benar. Tetapi Kontraktor juga adalah peniaga yang akan sentiasa mencari jalan untuk memaksimakan keuntungan, termasuklah mengadakan kakitangan pengawasan yang paling minima atau menyerahkan tugas itu seluruhnya kepada sub-kontraktor mereka. Membenarkan hal ini berlaku adalah merancang untuk mengalami kegagalan yang mungkin tidak dapat dibaiki diperingkat akhirnya.

Secara peribadi saya telah kerap melalui perlaksanaan Kontrak yang tidak dijaga oleh sumber manusia yang cukup di pihak Kontraktor. Kakitangan tapak Kontraktor bukan sahaja perlu cukup dari aspek bilangan malah perlu cukup juga dari segi pengetahuan dan pengalaman dan juga cukup dari segi kuasa untuk membuat keputusan. Ketiga-tiga aspek ini amat penting diberi perhatian. Ada Kontrak yang menghadapi masalah kerana kakitangan pengawasan yang kurang bijak tetapi ada juga yang masih menghadapi masalah walaupun dengan kakitangan yang berpengalaman kerana mereka tidak diberi kuasa untuk membuat keputusan. Dalam tender untuk projek multi-nasional seperti dalam industri minyak dan gas, hal ini dikenalpasti di peringkat awal dan keperluan perjawatan Kontraktor diperincikan dalam tender lagi. Malah kriteria dalam penilaian tender membenarkan Majikan membuat pilihan kepada kakitangan tapakbina yang bersesuaian. Mungkin kita boleh menerima pakai keperluan perjawatan kakitangan tapak Kontraktor seperti yang diamalkan dalam kontrak multinasional dan disesuaikan mengikut saiz dan kompleksiti Kontrak yang sedang kita laksanakan.

Kakitangan Kontraktor yang dicadangkan.

1. Pengarah Projek yang mestilah daripada salah seorang ahli lembaga pengarah syarikat kontraktor atau kakitangan pengurusan kanan yang diberi kuasa membuat keputusan.
2. Pengurus Projek yang mestilah seorang profesional atau separa profesional dalam bidang kejuruteraan awam atau struktur atau arkitek atau jurukur bahan yang mempunyai pengalaman yang bersesuaian.
3. Penyelia Tapak atau biasanya dipanggil ‘site foremen’ yang berpengalaman.
4. Kepala-kepala kerja bagi bidang-bidang berkaitan.
5. Perancang Projek (Project Planner) yang mempunyai kemahiran dalam perancangan kerja samada secara manual atau menggunakan perisian seperti ‘Primavera’ atau ‘Microsoft Project’
6. Jurukur Bahan.
7. Pegawai Keselamatan sebagaimana disyaratkan dibawah Akta Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia mengikut nilai Kontrak.

Perlu diingat bahawa industri pembinaan kita masih berada pada tahap peralihan daripada industri berasaskan pengalaman kepada industri yang profesional. Masih ramai daripada ‘ahli-ahli’ dalam pembinaan merupakan golongan veteran yang tidak mempunyai kelayakan bersijil. Ini memerlukan Arkitek untuk peka kepada keadaan. Dalam masa yang sama juga, Arkitek mesti mengetahui peruntukan undang-undang berhubung pembinaan khususnya Akta Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia dan setidak-tidaknya mempastikan kakitangan Kontraktor di tapakbina mempunyai kelayakan dan didaftarkan untuk gred tugas atau tred yang ditetapkan. Klausa ini sekalipun tidak menyebut secara khusus, boleh dikembangkan untuk mempastikan semua kakitangan daripada peringkat pengurusan hinggalah ke peringkat buruh memenuhi keperluan Akta tersebut.

Klausa 8.2
Klausa ini merujuk kepada suasana sebenar yang unik dalam industri pembinaan di Malaysia. Dari sudut sejarah, industri pembinaan Malaysia didominasi oleh kaum Cina sebelum kemunculan kontraktor-kontraktor Melayu hasil dari Dasar Ekonomi Baru. Kontrak dan lukisan kerja pula sebahagian besarnya dalam bahasa Inggeris. Sebahagian dari ‘kepala-kepala’ dalam pembinaan adalah tukang-tukang veteran kaum Cina yang tidak boleh memahami Bahasa Melayu apatah lagi Bahasa Inggeris. Mulai tahun 80an, industri pembinaan mengalami kemasukan pekerja dari Indonesia dan Thailand dan dikuti kemudiannya oleh pekerja dari Bangladesh dalam tahun 90an. Kebelakangan ini pula, mulai tahun 2000 pekerja-pekerja dibawa masuk dari Vietnam.

Wajah antarabangsa industri ini memerlukan Klausa ini dimasukkan sebagai satu syarat Kontrak, supaya satu saluran komunikasi setidak-tidaknya ujud pada setiap masa di tapakbina.

Dalam suasana yang ideal, Arkitek hanya perlu mengekalkan hubungan arahan dengan Pengurus Projek atau Penyelia Tapak yang kemudiannya akan menyampaikan arahan atau penerangan ke peringkat bawah. Tetapi dalam situasi sebenar Arkitek mungkin terpaksa berhubung secara terus dengan peringkat buruh. Melalui pengalaman peribadi, penglibatan terus ini memberikan kesan yang efektif kepada kerja. Arkitek-arkitek muda mungkin akan mendapati pengalaman sebegini sebagai mencabar tetapi boleh membawa kepuasan. Namun demikian, Arkitek mestilah sentiasa akur kepada keperluan untuk memberikan arahan bertulis sebagaimana keperluan Kontrak.

Klausa 8.3
Klausa ini secara umumnya memberikan kuasa yang mutlak kepada Arkitek dalam pengurusan tapakbina. Mana-mana kakitangan Kontraktor tidak terhad kepada kakitangan pengawasan sahaja boleh diarah untuk diberhentikan daripada bekerja di tapakbina. Untuk mengelakkan daripada penyalahgunaan kuasa Arkitek, semua arahan untuk memberhentikan kakitangan mestilah disertakan dengan bukti kegagalan atau ketidakupayaan mereka.


0 Comments:

Post a Comment

<< Home

Mesothelioma
Mesothelioma